Wednesday, 26 August 2015

Adat dan Amalan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina


Malam Tahun Baru Cina

Pada malam sebelum Tahun Baru Cina, semua sanak saudara sama ada mereka yang tinggal berjauhan ataupun mereka yang tinggal berdekatan akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka untuk upacara makan besar. Upacara ini menandakan ‘tuan yuan’ yang bermaksud berkumpulnya semua ahli keluarga untuk mengeratkan silaturahim selepas berpisah sekian lama. Adat ini dapat memperlihatkan sifat masyarakat Cina yang tidak lupa akan asal usul di samping menampakkan ketaatan anak-anak terhadap ibu bapa. Lazimnya, hidangan makan malam sebelum Tahun Baru Cina termasuk itik panggang, khinzir, tiram berkicap,ikan dan sayur-sayuran yang dimakan bersama arak.





Selepas upacara makan berakhir, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shou sui’. 

Menurut generasi yang lebih tua, mereka mempercayai bahawa upacara ini akan memanjangkan umur seseorang. 

Bagi generasi yang lebih tua, malam sebelum Tahun Baru Cina akan diluangkan dengan bermain ‘mahjong’ sebagai sejenis hiburan untuk merapatkan hubungan sesama ahli keluarga. 

Tepat pada waktu tengah malam, mercun dan bunga api akan dibakar, melambangkan bermulanya sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang meriah lagi ceria.






Semasa Perayaan Tahun Baru Cina

Pada hari pertama bagi perayaan Tahun Baru Cina, semua masyarakat akan memakai pakaian baru yang berwarna merah dan mengunjungi saudara mara dengan membawa buah tangan seperti limau mandarin yang melambangkan nasib yang baik atau kebahagiaan untuk dihadiahkan kepada saudara mara sebagai suatu restu.





Masyarakat Cina akan mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ semasa terserempak dengan saudara mara ataupun masyarakat Cina yang lain. Ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ membawa maksud ‘semoga tahun ini akan membawa segala kebaikan’. 





Ang pau’ juga akan diberikan kepada kanak-kanak ataupun kepada mereka yang masih bujang oleh orang yang telah berkeluarga. Tradisi ini membawa makna memberi nasib baik kepada kanak-kanak untuk menjalani kehidupan yang baik. 

Bagi mereka yang masih belum berkahwin, pemberian 'ang pau' merupakan sejenis tradisi untuk memberi nasib baik ataupun kebahagiaan kepada mereka supaya menemui teman hidupnya untuk membina keluarga sendiri yang bahagia.





Tarian singa dan juga tarian naga yang menarik turut dipersembahkan dengan iringan bunyi gendang yang menggetarkan jiwa bersertakan peralatan muzik yang lain. Tarian singa juga boleh dibahagikan kepada tarian singa selatan dan juga tarian singa utara. 


 Tarian Singa

Tarian Naga

Penggabungan Tarian Singa Selatan dan Tarian Singa Utara

Jamuan yee sang dan kuih bakul turut tidak boleh dikecualikan sempena sambutan Tahun Baru Cina. Semua ahli keluarga akan duduk bersama di sebuah meja besar yang berbentuk bulat pada waktu makan besar. Meja yang berbentuk bulat membawa maksud 'tuan yuan', iaitu sekeluarga berkumpul bersama. 




Makan Besar

Yee Sang

Makanan tradisi seperti daging itik, ikan, daging salai, limau mandarin, kuih bakul dan juga pelbagai juadah dan hidangan yang enak akan disajikan bagi meraikan sambutan yang besar lagi menggembirakan.

Limau Mandarin

 Daging Salai dan Kuih Bakul

Juadah


Tanda Penutupan Sambutan Tahun Baru Cina

Seperti yang kita maklumi, sama ada sesuatu kegiatan ataupun perkara, adanya permulaan menandakan tentu ada penghujungnya. Masyarakat Cina telah menetapkan hari kelima belas sebagai penghujung bagi perayaan Tahun Baru Cina. Hari ini juga disebut 'Chap Goh Mei' yang membawa makna hari kelima belas dalam perkataan Bahasa Cina.     

Hari 'Chap Goh Mei' jatuh pada hari kelima belas dalam bulan pertama Imlek Cina.Hari itu juga merupakan hari terakhir bulan penuh akan muncul dalam bulan tersebut. Hari itu turut dipanggil 'Pesta Tanglung' memandangkan lampu-lampu berwarna-warni yang beraneka jenis serta bentuknya akan dinyalakan pada malam hari itu. 





Amalan menyalakan lampu-lampu pada Hari 'Chap Goh Mei' berkait rapat dengan sejarah negara China. 

Pada tahun 180 sebelum Masihi, China diperintah oleh Dinasti Han. Liu Heng, iaitu Maharaja Dinasti Han telah berjaya menggagalkan gerakan penderhakaan pada hari kelima belas bulan pertama dalam Imlek Cina. 

Bagi merayakan kejayaan dalam membanteras kuasa penderhakaan, Maharaja Liu Heng telah mengarahkan agar memasang serta menyalakan lampu-lampu di seluruh negaranya pada malam itu. Semenjak itu, pada hari kelima belas bulan pertama dalam Imlek Cina, amalan menyalakan lampu-lampu di tepi jalan telah diteruskan dan diwarisi sehingga hari ini. 







Dulu, lampu-lampu diperbuat daripada kertas berwarna-warni serta mempunyai pelbagai jenis bentuk. 

Kini, dengan teknologi yang canggih lagi moden, pembuatan lampu-lampu telah dinaiktarafkan. Kawalan sama ada dari segi bunyi ataupun cahaya turut digunakan dalam penghasilan lampu-lampu yang menarik lagi pelbagai kegunaannya.






Sumber :  http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/5745-sambutan-tahun-baru-cina.html


No comments:

Post a Comment